Isnin, 30 April 2012

PERJANJIAN KANAGAWA DAN PERJANJIAN BOWRING

Huraikan kesan-kesan perjanjian Kanagawa tahun 1854  ( Jepun ) dan perjanjian Bowring  tahun 1855  ( Siam ) ke atas kedua-dua negara.
PENDAHULUAN
Kedatangan Barat ke Asia adalah untuk meluaskan pengaruh mereka terhadap negara-negara Asia. Kuasa Barat telah melakukan campur tangan ke atas negara-negara di Asia melalui perjanjian, peperangan dan pengilhakan. Kedatangan Barat ke Thailand dan Jepun telah mengancam kedaulatan kedua-dua buah negara tersebut. Bagi menggelakkan kedaulatan dan campur tangan Barat ke atas kedua-dua buah negara  ini ,kedua-dua pemerintahan negara tersebut iaitu Raja Mongkut dan Shogun telah menandatangani perjanjian dengan kuasa Barat. Raja Mongkut telah menandatangani perjanjian Bowring pada tahun 1855 dengan British. Jepun pula telah menandatangani perjanjian Kanagawa pada tahun 1854. Kedua-dua perjanjian ini sangat penting kerana perjanjian ini  merupakan langkah pertama kepada perubahan dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka Siam dan Jepun bagi mengelakkan campur tangan kuasa Barat.

ISI
A.  JEPUN.
Penjanjian Kanagawa diadakan kerana Amerika Syarikat tertarik dengan banyak potensi yang terdapat di Jepun iaitu;

a.   Jepun mempunyai potensi perdagangan.
b.   Perusahaan menangkap ikan paus Amerika Syarikat di Lautan Pasifik berkembang pesat dan anak kapal Amerika Syarikat sering terkandas dipinggir laut Jepun dan sering diberi layanan buruk.
c.    Perdagangan Amerika Syarikat dengan China  semakin meningkat dan Amerika Syarikat memerlukan arang batu daripada Jepun.

Pada tahun 1853 , Komodor Perry yang dilantik oleh kerajaan Amerika Syarikat menjadi wakil ke Jepun. Komodor Perry telah memaksa Jepun mengadakan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Bagi mengelakkan campur tangan Amerika Syarikat Jepun terpaksa menandatangani suatu penjanjian dengan Amerika yang dipanggil Penjanjian Kanagawa pada tahun 1854.

Antara syarat-syarat perjanjian Kanagawa ialah
a.    Pelabuhan Shimoda dan Hakodate dibuka kepada  kapal Royal Amerika Syarikat bagi mendapat bekalan  dan berdagang.
b.    Amerika Syarikat dibenarkan melantik seorang konsul yang akan di tempatkan di Shimoda.
c.    Amerika Syarikat akan dilayan sebagai negara yang paling digemari (most favoured nation )

Perjanjian kanagawa ini merupakan perjanjian yang pertama yang ditandatangani oleh Jepun dengan kuasa Barat. Perjanjian ini memberi kesan yang sangat besar terhadap Jepun dan hubungannya dengan kuasa Barat lain

Kesan-kesan Perjanjian Kanagawa 1854.

Kesan Politik
a.    Permulaan dasar buka pintu
Ø  Perjanjian Kanagawa telah menamatkan dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka yang telah diamalkan oleh Shogun Tokugawa. Selepas perjanjian ini pada tahun 1854, Laksamana Sir James Stirling yang mewakili British telah menandatangani Perjanjian Nagasaki. Melalui perjanjian ini British mendapat kemudahan perdagangan di Hakodate dan Shimoda. Pada tahun 1855 Russia melalui Laksamana Putyyatin telah menandatangani Perjanjian Shimoda dengan Jepun.

Antara isi penjanjian ini ialah :
a.    Pulau-pulau Kuril termasuk Etorufu diserah kepada Russia.
b.    Pelabuhan Nagasaki, Shimoda dan Hokadate dibuka kepada Russia.
c.    Pulau Sakhalin tetap menjadi milik bersama antara Russia dengan Jepun.

Ø  Pada tahun 1856, Belanda telah menandatangi perjanjian dengan Jepun di Nagasaki. Belanda juga diberi kebenaran berdagang di pelabuhan-pelabuhan Jepun
Ø  Pada tahun 1858, Amerika Syarikat telah berjaya mengadakan perjanjian Jepun. Townsend Harris telah menjadi wakil kerajaan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Edo. Melalui perjanjian ini lima buah lagi pelabuhan Jepun dibuka kepada Amerika Syarikat iaitu Hyogo, Hakodate, Kanagawa, Nagasaki dan Nugata. Hak asasi bagi kes-kes civil dan jenayah hendaklah diberikan kepada semua orang Amerika. Cukai-cukai kastam hendaklah ditetapkan mengikut persetujuan bersama.
Ø  Kejatuhan Shogun Tokugawa kerana perjanjian-perjanjian yang ditandatangani ini telah membuktikan kelemahan pemerintahan Shogun. Suku-suku Barat seperti Toza, Tozama, Chosu dan Ronin menentang pentadbiran Jepun. Shogun Keiki terpaksa menyerah kuasa kepada Maharaja Meiji pada tahun 1867. Dengan ini Maharaja Meiji telah kembali berkuasa ke atas seluruh wilayah Jepun. Apabila maharaja Jepun berjaya menguasai Jepun baginda telah melakukan permodenan terhadap Jepun bagi menggelakkan campur tangan Barat.

Kesan Ekonomi
Ø  Melalui perjanjian ini Jepun menceburi bidang ekonomi komersial akibat berlakunya perdagangan dengan negara-negara barat akibat pembukaan pelabuhan-pelabuhan Jepun. Kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan lahirnya syarikat-syarikat besar dari golongan zaibatsu yang memajukan ekonomi Jepun.

Kesan sosial.
Ø  Agama kristian telah dibenarkan dibawa masuk dengan bebas oleh para pedagang dan mubaligh kristian. Agama kristian semakin berkembang di Jepun.

B.  Thailand - Perjanjian Bowring

Ø  Raja Mongkut telah melihat perkembangan politik yang berlaku di Asia Tenggara di mana kuasa Barat telah campur tangan di Tanah Melayu, Myanmar, Indonesia dan Vietnam. Raja Mongkut sedar jika Siam meneruskan dasar pintu tertutup ini akhirnya Siam juga akan ditakluki oleh kuasa Barat.

Ø  Demi mengelakkan pencerobohan dan campur  tangan kuasa Barat ke atas Siam Raja Mongkut telah mengadakan dasar buka pintu dan pemodenan Siam. Langkah pertama ke arah pemodenan adalah mengadakan perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan British. Perjanjian ini dikenali dengan perjanjian Bowring pada tahun 1855.

Ø  Antara syarat-syarat perjanjian Bowring ialah

a.    Cukai dikenakan ke atas barang-barang yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar British setinggi 3 % sahaja.

b.    Saudagar-saudagar British dibenarkan berdagang di semua pelabuhan Siam.

c.    Warganegara British dibenarkan membeli atau menyewa khasnya di sekitar empat batu dari ibu negera.

d.    Konsul British hendaklah ditubuhkan di Bangkok dan diberi hak wilayah asingan  ( extra-territorial rights ) Warganegara British tidak tertakluk di bawah peraturan dan undang Siam dan mereka tertakluk di bawah undang-undang British.

e.    Konsul British yang hendak dilantik mendapat persetujuan dan kepercayaan Siam.

f.     Pedagang-pedagang British dibenarkan mengimport candu tetapi tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ketat dan kawalan rapi.

Kesan Perjanjian Bowring.

1.    Kesan Politik.

Ø  Hubungan Siam dengan British semakin erat. Raja Mongkut telah mengamalkan diplomasi dengan menghantar satu perutusan ke Britain. Utusan ini diketuai oleh Phraya Suriwongse.

Ø  Siam dapat mengelakkan negaranya daripada dijajah oleh kuasa Barat lain. Siam telah mengadakan perjanjian-perjanjian perdagangan dengan kuasa Barat lain seperti Perancis ( 1856 ), Amerika Syarikat ( 1856 ), Denmark ( 1858 ), Portugal        ( 1859 ), Holland ( 1860 ), Prusia ( 1862 ), Belgium ( 1868 ), Italy (1868), Norway       ( 1868 ), dan Sweden ( 1868 ).

Ø  Raja Mongkut juga telah melakukan permodenan di Siam dengan mengambil pakar-pakar asing dalam menguruskan pentadbiranya.

Kesan ekonomi.

Ø  Perjanjian Bowring telah membuka Siam kepada pedagangan antarabangsa. Bilangan kapal yang berlabuh di Siam  bertambah hampir 10 kali ganda.

Ø  Sistem ekonomi sara diri Siam telah diganti dengan sistem ekonomi komersial. Siam mengeksport kayu jati, beras dan gula. Pada tahun 1850 jumlah eksport beras Siam hanya 5% daripada jumlah pengeluarannya tetapi pada tahun 1905 jumlah eksport Siam telah meningkat sehingga 50%.

Ø  Britain telah menguasai perdagangan asing di Siam. Pelabuhan-pelabuhan asing seperti Singapura dan Hong Kong telah menjalankan perdagangan Siam. Siam telah muncul sebagai “ satelit ekonomi” Britain.

Ø  Penguasaan orang Cina dalam perdagangan asing telah tamat. Kerajaan Siam telah memajakkan monopoli eksais yang baru seperti loteri, candu dan minuman keras.

Ø  Sistem kewangan Siam telah mengalami perubahan. Siam telah menyusun semula sisten kewangannya mengikut sistem kewangan Barat. Siam telah mengambil penasihat-penasihat ekonomi daripada Barat.

Ø  Perjanjian ini juga telah menamatkan monopoli perdagangan golongan bangsawan. Sebelum ini golongan bangsawan yang memonopoli perdagangan tertentu seperti batu permata dan kayu jati .

KESIMPULAN.

Perjanjian Kanagawa dan perjanjian Bowring memberi pergertian yang sangat besar kepada Jepun dan Thailand. Melalui perjanjian ini Jepun dan Thailand telah mengubah dasar tutup pintu kepada dasar buka pintu. Melalui perjanjian ini juga Jepun dan Thailand telah melakukan permodenan terhadap negara masing-masing. Kedua-dua perjanjian ini telah berjaya menyelamatkan Jepun dan Thailand daripada dikuasai oleh kuasa-kuasa Barat.