Rabu, 7 Mac 2012

CAMPUR TANGAN MELALUI PERJANJIAN

Perjanjian Kanagawa dan Perjanjian Nanking

Pengenalan
Perjanjian Kanagawa telah ditandatangani antara Jepun dengan Amerika, manakala Perjanjian Nanking ditandatangani antara China dengan British. Kedua-dua perjanjian merupakan perjanjian penting yang membawa banyak kesan politik, ekonomi, dan sosial terhadap China dan Jepun.

Perjanjian Kanagawa
Kegiatan perdagangan giat dijalankan Amerika Syarikat pada awal abad ke 19, iaitu kegiatan perdagangannya dengan Negara China di Canton. Atas kepentingan inilah Amerika Syarikat merasakan betapa pentingnya mencari pelabuhan persinggahan. Dalam hubungan ini negara Jepun merupakan negara yang paling sesuai sebagai pangkalan arang batu dan juga pelabuhan persinggahan. Disamping itu Amerika Syarikat juga menjalankan kegiatan menangkap ikan paus di Pasifik Utara dan kebiasaannya anak-anak kapal sering terkandas di pinggir laut Jepun. Memandangkan keadaan yang sedemikian, Amerika Syarikat merasakan perlu diadakan hubungan dengan menghantar rombongan ke Jepun bagi memenuhi kepentingan desakan ekonomi ini.
 
Hasil pertemuan ini maka perjanjian Kanagawa telah ditandatangani oleh Amerika Syarikat dengan Jepun pada tahun 1854. Ini merupakan perjanjian yang pertama bagi Negara Jepun ke atas Negara Barat. Sesungguhnya perjanjian ini membawa kesan yang banyak ke atas Negara Jepun
 Perjanjian Kanagawa menandakan bermulanya Dasar Buka Pintu Jepun.  Ini jelas jika dilihat beberapa siri perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat yang lain iaitu dengan Britain (1854), Russia (1855) dan Belanda pada tahun 1858. Amerika Syarikat berjaya membuka konsulnya di Jepun yang diketuai oleh Townshed Harris. Dengan adanya konsul ini hubungan diplomatic yang kukuh antara Jepun dan Amerika Syarikat terjalin. Beberapa pelabuhan perjanjian dibuka malah Amerika Syarikat juga diberi kebenaran melantik seorang konsul di Shimoda
Perjanjian Kanagawa juga memberi pengaruh yang besar kepada kejatuhan pengaruh Shogun. Pengaruh Shogun semakin lemah dan orang ramai dan golongan pembesar mendesak supaya Shogun digulingkan. Pihak Barat pula mengambil peluang ini untuk mengagung-agungkan maharaja dalam gerakan yang dikenali sebagai “sonno-jai”. Mereka mendesak supaya kuasa maharaja yang selama ini hilang dikembalikan semula. Shogun akhirnya terpaksa tunduk dan secara rasminya menyerah kuasanya kepada Maharaja Meiji.
Perjanjian Kanagawa menandakan berlakunya kegiatan perdagangan yang lebih pesat antara Jepun dengan kuasa-kuasa Barat. Di bawah perjanjian tersebut, Jepun telah membuka dua buah pelabuhan. iaitu Shimoda dan Hakodate kepada Amerika Syarikat bagi mendapatkan bekalan dan tujuan berdagang. Anak-anak kapal Amerika Syarikat yang terkandas di Jepun diberi layanan yang baik. Hubungan perdagangan antara Jepun dengan kuasa-kuasa Barat telah ditetapkan.
Terdapat kemasukan unsur-unsur Barat seperti barangan buatan Barat dan fahaman Barat.
Perjanjian Nanking
Di negara China, keadaannya amat berbeza sama sekali dimana Britain telah memaksa China menandatangani Perjanjian Nanking pada tahun 1842 selepas China kalah dalam perang Candu I. Dengan termeterainya perjanjian ini menandakan bermulanya Dasar Buka Pintu China. Kerajaan China di bawah Dinasti Manchu juga terpaksa mengadakan hubungan dengan kuasa asing yang lain. Pada tahun 1844, China menandatangani Perjanjian Wanghia dengan Amerika Syarikat dan Perjanjian Whampoa dengan Perancis. Pada tahun 1847 pula, kerajaan Manchu mengadakan perjanjian dengan Norway dan Sweden.
Termeterainya Perjanjian Nanking telah mendedahkan kelemahan Dinasti Manchu. Terdapat kepercayaan umum bahawa Dinasti Manchu telah kehilangan mandat daripada syurga untuk memerintah. Terdapat percubaan menggulingkan Dinasti Manchu yang semakin lemah itu.
Dari segi ekonomi, China terpaksa membuka lima buah pelabuhan, iaitu Amoy, Canton, Foochow, Ningpo, dan Shanghai kepada kuasa Barat demi perdagangan. Ini bermakna China terpaksa menerima perdagangan bebas. China juga terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada Britain. Sistem monopoli perdagangan Co-hong telah dihapuskan. Kerajaan China dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta tael kepada Britain.
Dari segi sosial, China didedahkan kepada unsur-unsur Barat seperti barangan asing, agama Kristian, dan fahaman Barat. Agama Kristian telah disebarkan dengan meluasnya di Negara China.
Sebagai kesimpulan, kedua-dua Perjanjian Kanagawa dan Nanking berbeza. Jepun menandatangani Penjanjian Kanagawa secara sukarela, manakala China menandatangani Perjanjian Nanking selepas dipaksa. Selepas perjanjian, Jepun menjadi moden dan kuat, manakala China semakin lemah dan semakin dicerobohi oleh Barat sehingga menjadi “Semi Colony”.