Rabu, 5 Oktober 2011

Sistem Pendidikan Sebelum Perang Dunia Ke-2

Pengenalan Perluasan pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu telah mewujudkan satu sistem persekolahan baru. Sekolah-sekolah yang awal ditubuhkan di Negeri-negeri Selat atas usaha mubaligh-mubaligh Kristian, badan-badan awam dan orang perseorangan. Selepas campur tangan secara langsung pada tahun1874,British telah mempelbagaikan kegiatan ekonomi demi kepentingan imperialismenya. Ini secara tidak langsung  telah meransang kemajuan sosio-ekonomi di Tanah Melayu pada pertengahan pertama abad ke-20. Selaras dengan kemajuan sosio-ekonomi, sistem pendidikan turut berkembang. Sekolah-sekolah mula didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan seterusnya di negeri-negeri lain. Pengasingan kaum Melayu, Cina dan India di bawah dasar pecah dan perintah British (devide and rule policy) telah menyebabkan wujudnya empat aliran pendidikan yang berlainan di Tanah Melayu, iaitu Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Inggeris.

A.     Pendidikan Melayu
Ø Sebelum abad ke-19, sistem pelajaran sedia ada di Tanah Melayu pada umumnya adalah berbentuk pendidikan agama melalui sistem pondok. Mulai abad ke-19, sistem pendidikan Melayu sekular telah diperkenalkan oleh British.
Ø Pada tahun 1821, Sekolah Melayu Gelugor telah dibuka sebagai cawangan kepada Penang Free School. Atas usaha golongan mubaligh, beberapa sekolah Melayu telah dibuka di Negeri-negeri Selat sekitar tahun-tahun 1850-an dan 1860-an. Bilangan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Bersekutu meningkat dari 168 buah pada tahun 1898 kepada 266 buah pada tahun 1907.
Ø Sebaliknya pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu adalah lembap. Sekolah Melayu pertama di Kedah hanya ditubuhkan pada tahun 1897 manakala di Kelantan pada tahun 1903. Terengganu tidak mempunyai sebuah sekolah sebelum tahun 1915.
Ø Pendidikan Melayu sebelum tahun 1941 terhad kepada peringkat rendah sahaja untuk membolehkan orang Melayu mengira dan mengenal huruf. Kerajaan British ingin memelihara cara hidup tradisional orang Melayu dan mengekalkan kestabilan politik dengan tidak memberi pelajaran peringkat tinggi.
Ø Pada dekad-dekad awal abad ke-20, kerajaan British telah meluluskan beberapa enakmen yang mewajibkan anak-anak lelaki Melayu yang berumur antara 7-14 tahun bersekolah sekurang-kurangnya selama setengah tahun jika mereka tinggal dalam lingkungan 3.2 km dari sekolah. Enakmen-enakmen ini telah menggalakkan perkembangan pendidikan sekular Melayu.
Ø Kerajaan British juga menubuhkan beberapa maktab latihan perguruan Melayu bagi meningkatkan mutu pengajaran di sekolah-sekolah Melayu. Maktab yang paling terkemuka ialah Maktap Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang dibuka di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922.

B.     Pendidikan Cina
Ø Pendidikan Cina di Tanah Melayu pada awalnya dipelopori oleh mubaligh Kristian. Namun demikian kebanyakan sekolah Cina telah dibuka dan diselenggarakan oleh masyarakat Cina sendiri.
Ø Pendidikan Cina mulai berkembang pada abd ke-20 akibat pengaruh pemimpin-pemimpin politik dari China seperti Kang Yu-wei dan Sun Yat-sen. Sekolah-sekolah berasaskan fahaman Confucius dan sains moden mula dibuka di Tanah Melayu dan Singapura
Ø Di antara tahun-tahun 1911-1919, lebih 50 buah sekolah Cina telah dibuka di Tanah Melayu. Guru-guru dan buku teks dibawa dari China. Di setengah-setengah sekolah, perkembangan politik di negara China dimasukkan dalam sukatan pelajaran.
Ø Mulai tahun 1920, bahasa Mandarin (kuo-yu) digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina. Ini adalah selaras dengan perkembangan di China di mana Mandarin dijadikan bahasa kebangsaan.
Ø Pada tahap awal kerajaan British membenarkan sekolah-sekolah Cina berkembang dnegan bebas. British tidak membantu atau mengawal sekolah-sekolah Cina. Namun pada tahun 1920, kerajaan British telah meluluskan Undang-undang Buruh untuk mengawasi sekolah-sekolah Cina. Ini kerana sekolah Cina telah mula diresapi oleh ejen-ejen komunis dari negara China.
Ø Kerajaan British mula memberi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina pada tahun 1923. Seorang Nazir sekolah Cina telah dilantik untuk mengawasi perkembangan sekolah Cina.
Ø Sekolah Cina menyediakan pelajaran rendah selama 6 tahun, menengah rendah selama 3 tahun dan menengah atas selama 3 tahun. Secara keseluruhan mutu pelajaran sekolah Cina lebih tinggi berbanding sekolah Melayu dan Tamil.

C.     Pendidikan Tamil
Ø Mulai tahun 1870, sekolah-sekolah kecil telah dibuka di ladang-ladang di mana penduduk India memerlukan pelajaran bagi anak-anak mereka. Kebanyakan sekolah ini diusahakan oleh pihak persendirian. Sebaliknya kerajaan British ketika itu menganggap tidak perlu memberi pelajaran kepada anak-anak buruh Tamil yang berhijrah masuk.
Ø Pada tahun 1905 terdapat 13 buah sekolah Tamil (kerajaan) dan 4 buah sekolah Tamil persendirian di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1912, kerajaan British menguatkuasakan Undang-undang Buruh yang mewajibkan pihak pengurusan ladang mendirikan sebuah sekolah sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang anak buruh yang berumur di antara 7-14 tahun. Sekolah-sekolah ini hendaklah dibiayai oleh pihak pengurusan ladang.
Ø Sekolah-sekolah Tamil di ladang hanya memberi pelajaran rendah selama 4-5 tahun. Buku-buku dibawa dari India dan mutu pendidikannya adalah rendah. Bagaimanpun mutu sekolah-sekolah Tamil di bandar yang ditubuhkan oleh persatuan-persatuan India lebih tinggi.
Ø Menjelang 1930-an, kerajaan British mula membantu sekolah Tamil dengan memberi peruntukan kewangan dan melantik seorang Nazir berbangsa Eropah.

D.     Pendidikan Inggeris
Ø Kebanyakan sekolah Inggeris dibuka oleh mubaligh Kristian dan badan-badan awam. Kerajaan British pada awalnya tidak berminat untuk mengembangkan pendidikan Inggeris bagi faedah rakyat. Sekolah Inggeris pertama ialah Penang Free School yang diasaskan oleh R.S.Hutchings pada tahun 1816.
Ø Persatuan-persatuan mubaligh telah membuka sekolah-sekolah bagi murid lelaki dan perempuan. Antara sekolah murid lelaki ialah Anglo Chinese School, Pulau Pinang (1891), Sekolah Lelaki Methodist, Kuala Lumpur (1897), dan St. John, Kuala Lumpur (1904).
Ø Antara sekolah-sekolah bagi murid perempuan pula ialah Sekolah Perempuan Bukit Bintang 1893), Sekolah Convent Kuala Lumpur (1899), dan Sekolah Perempuan St. George, Pulau Pinang.
Ø Pada tahun 1905, British telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar khas untuk anak-anak raja dan pembesar Melayu. Manakala sistem Normal Class telah dumulakan pada tahun 1906 di Kuala Lumpur bagi melatih guru-guru sekolah Inggeris.
Ø Sehingga tahun 1919 terdapat 17 buah sekolah Inggeris (kerajaan). Sekolah-sekolah ini bertujuan mendidik anak kelas pertengahan untuk menjadi guru dan kerani. Kebanyakan muridnya adalah berbangsa Cina dan India.
Ø Peluang melanjutkan pelajaran peringkat tinggi pula adalah terhad. Ia hanya ditawarkan di Maktab Perubatan King Edward VII, Singapura (1905), Raffles Institution, Singapura (1929), Maktab Teknik (1904), dan Maktab Pertanian Serdang (1931).

Kesimpulan
Dapatlah disimpulkan bahawa kewujudan sistem pendidikan vernakular semasa penjajahan British adalah untuk memenuhi keperluan kaum masing-masing baik dari segi bahasa pengantar mahupun kurikulumnya. Perkembangan Sekolah Cina, Tamil dan Inggeris adalah berorientasikan sistem pendidikan yang terdapat di negara asal masing-masing. Perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran ini telah meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum dan menyukarkan pemupukan perpaduan nasional selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.