Khamis, 6 Oktober 2011

Kegiatan Ekonomi Tanah Melayu sebelum kedatangan British

PENGENALAN  
Sebelum campur tangan British, sistem ekonomi Tanah Melayu bersifat sara diri. Tiada penggunaan teknologi moden,tetapi tenaga ahli-ahli keluarga adalah penting dari peringkat awal hingga ke peringkat pengeluaran. Rakyat jelata tidak ada dorongan untuk mengeluarkan lebihan tanaman kerana cukai yang selalunya dikenakan adalah tinggi dan sistem pemasaran adalah sesuatu yang mudah. Tanah-tanah boleh diusahakan sesuka hati atau hanya perlu meminta kebenaran pembesar kerana tanah dianggap milik raja.
-Kegiatan terpenting ialah pertanian,iaitu tanaman padi. Di samping itu, terdapat juga kegiatan penternakan, penghasilan barang-barang kraftangan serta mencari hasil-hasil hutan.
-Sekiranya ada lebihan, aktiviti pertukaran mendapatkan barang-barang keperluan lain yang tidak dapat dihasilkan sendiri boleh dijalankan. Di samping itu, penduduk Tanah Melayu juga menjalankan kegiatan ekonomi komersial yang berlandaskan perdagangan dan perlombongan.

1. Ekonomi Sara Diri
i. Dari aspek pertanian, padi merupakan tanaman utama. Terdapat dua jenis padi utama. padi sawah ditanam di kawasan lembah sungai atau tanah rendah dan rata. Ia memerlukan air yang banyak. Padi huma atau padi bukit ditanam dikawasan tanah tinggi atau lereng bukit dan tidak memerlukan air yang banyak. Kawasan penanaman padi yang utama ialah di Kedah, Negeri Sembilan , Pahang dan Kelantan

ii. Sistem pengairan dapat memajukan sistem penanaman padi pada awal abad ke--19. Terdapat 3 jenis pengairan yang digunakan iaitu kincir air, terusan dan empangan. Pada tahun 1885, terusan Wan Mat Saman sepanjang 32km telah dibina di Kedah untuk mengairi sawah padi. Padi dari negeri Kedah dan Perlis mendapat pasaran yang baik di Pulau Pinang. Selain itu, Kedah turut menjalankan sistem pajak (ampun kurnia) yang dianugerahkan oleh raja kepada tauke-tauke dari Pulau Pinang untuk mengusahakan kegiatan ekonomi tertentu.

iii. Di negeri Perak, masyarakat Melayu merupakan masyarakat tani. Tanaman utama yang diusahakan ialah padi. Selain itu, terdapat juga tanaman seperti kopi, tembakau, sagu, pisang, jagung, tebu, ubi kayu, lada hitam dan gambir. Pokok buah-buahan juga ditanam untuk kegunaan sendiri seperti kelapa, durian, manggis, langsat dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga pokok pinang, kabung, nibung dan nipah yang mempunyai nilai-nilai perniagaan. Jika berlebihan, ia akan dijual untuk membeli barangan yang tidak mereka hasilkan seperti pakaian.

iv. Di samping itu, kegiatan menangkap ikan secara kecil-kecilan penting sebagai mata pencarian bagi penduduk Tanah Melayu yang tinggal berhampiran dengan laut, sungai dan tasik 

v. Kegiatan memburu binatang juga dijalankan seperti pelanduk, kancil dan ayam hutan.

vi. Ternakan secara kecil-kecilan seperti lembu, kerbau dan ayam itik dilakukan disamping kegiatan pertanian.

vii. Selain itu, sistem kerah yang diwajibkan ke atas rakyat untuk berkhidmat dengan pembesar termasuk raja merupakan ciri penting. Khidmat yang diberikan seperti membuat jalan,menjaga perahu,jambatan, gajah,menghantar surat dan berita dan menjaga kepentingan pembesar semasa melawat daerah dan sebagainya

viii. Kegiatan sampingan lain dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional ialah mengutip hasil hutan seperti damar, rotan, getah perca, pelutung, kayu dan buluh. Dalam masyarakat Melayu tradisional, kegiatan ini dipanggil “meramu”. Hasil-hasil ini dijual sebagai pertukaran bagi mendapatkan beras, garam dan kain. Perkembangan pusat perdagangan di Kedah dan Melaka membolehkan hasil-hasil hutan dijual kepada pedagang-pedagang asing.

ix. Antara kerja-kerja pertukangan ialah bertukang, bertenun, menganyam kain dan menghasilkan kraftangan. Kegiatan pertukangan melibatkan pertukangan kayu seperti membuat rumah dan sampan serta pertukangan logam seperti membuat alat-alat senjata. Di samping itu,terdapat juga aktiviti meembuat periuk belanga daripada tanah. Penduduk di Pantai Timur juga menjalankan aktiviti menenun kain, songket dan membuat alat penangkapan ikan terutamanya pada musim tengkujuh

2. Ekonomi Komersial

i. Sebelum campur tangan British, penduduk Tanah Melayu juga menjalankan sistem ekonomi komersial berlandaskan perdagangan dan perlombongan 

ii. Perdagangan dengan negara-negara Eropah dijalankan melalui pelabuhan entrepot Singapura dan ke China

iii. Pertanian dagangan merupakan kegiatan pertanian yang dijalankan untuk perdagangan di samping kegunaan harian

iv. Perlombongan bijih timah telahpun diusahakan oleh orang-orang Melayu (pembesar-pembesar Melayu). Pengeluaran terhad kerana kaedah yang digunakan ialah mendulang. Dianggarkan bahawa hanya 500 tan bijih timah setahun diusahakan oleh orang-orang Melayu hingga pertengahan abad ke-19.

v. Awal abad ke-19, ladang-ladang gambir yang luas milik kongsi Cina telah dimajukan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Di Johor,lada hitam dan gambir diusahakan di antara tahun-tahun 1840-1850-an. Kedua-dua tanaman ini ditanam di bawah sistem Kangchu. Tanaman ini mendapat pasaran yang menguntungkan di Singapura dan Eropah

vi. Di Seberang Perai, buah pala,cengkih dan tebu telah diusahakan oleh saudagar-saudagar Eropah pada awal abad ke-19.

vii. Ubi kayu ditanam di Melaka pada pertengahan abad ke-19. Dianggarkan pada tahun 1860, terdapat kira-kira 400 hektar ladang ubi kayu di Melaka.

viii. Terengganu menjalankan kegiatan perdagangan dengan China menjelang tahun 1830. Masyarakat Cina Terengganu sudahpun mempun yai seorang kapitan China. Sultan Omar menggalakkan perdagangan luar yang mengeksport emas, bijih timah, kopi, pinang, rotan dan damar. Baginda mengarahkan supaya kegiatan carigali emas di Ulu Nerus dan biji timah di Kemaman dipergiatkan. Terengganu mengimport barangan seperti candu, barang-barang buatan British dan barang-barang dari China.

ix. Kelantan pula terkenal dengan pengeluaran emas, bijih timah, lada hitam, pinang, beras, getah perca, buluh, kayu gaharu dan kain songket. Import utamanya ialah barang-barang kapas dari India dan Britain, sutera mentah dari China, candu, tembakau dan lain-lain. Pengeluaran emas dikuasai oleh orang-orang Cina. Kawasan utaman ya ialah di Pulai, Gua Musang. Hasil eksport Kelantan yang lain seperti kayu-kayan, getah perca, damar ,buluh dan sebagainya.

x. Perlombongan bijih timah tertumpu di kawasan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu. Di Perak, bijih timah di kawasan hilir Perak dan Kinta diusahakan pada abad ke-19 oleh pelombong cina dari Pulau Pinang, contohnya Kapitan Chong Ah Kwee. Kawasan Larut menjadi kawasan utama selepas 1840-an

xi. Di Selangor, kawasan perlombongan Lukut dibuka oleh Raja Busu yang berasal dari Kesultanan Selangor. Ramai saudagar negeri-negeri Selat melabur di Lukut. Lebih daripada 20000 orang Cina menjalankan aktiviti perlombongan di Lukut. Kawasan Kelang ialah kurniaan Sultan Muhamad kepada Raja Abdullah. Ia dieksport ke luar pada tahun 1859

xii. Di Negeri Sembilan pula, pelombong-pelombong cina telah melombong di Sungai Ujong sejak 1828. Kawasan ini berkembang pesat pada pertengahan abad ke- 19 di bawah Dato’ Bandar Kulup Tunggal dan Dato’ Kelana. Eksport bijihnya meningkat daripada 7000 pikul pada tahun 1830-an hingga 20000 pikul pada tahun 1855. Kebanyakan bijih dari sini dieksport ke negeri-negeri Selat terutamanya Melaka

xiii. Lombong-lombong bijih timah dibuka di Melaka seperti kawasan Durian Tunggal,Air Panas dan Kesang telah dibuka sekitar tahun 1840-an

xiv. Di Pahang,kegiatan perlombongan bijih timah diusahakan di Kuantan oleh saudagar-saudagar negeri-negeri Selat

KESIMPULAN
Kesimpulannya, sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan Barat merupakan sistem ekonomi sara diri dengan tumpuannya ke atas pertanian dan sistem ekonomi komersial yang berat kepada perlombongan dan perdagangan
Tanah Melayu begitu kaya dengan hasil alam sehingga perdagangan dapat dijalankan dengan negara-negara Eropah dan negeri-negeri Selat sejak awal abad ke- 19 lagi.
Kekayaan hasil bumi ini juga menarik ramai saudagar Cina dan Eropah menanam modal dalam perusahaan pertanian dagangan dan perlombongan