Memaparkan catatan dengan label Pemerintahan Raja Mutlak dan Raja Berperlembagaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemerintahan Raja Mutlak dan Raja Berperlembagaan. Papar semua catatan

Rabu, 24 Julai 2013

RAJA BERKUASA MUTLAK DAN BERPERLEMBAGAAN DI ENGLAND

Pengenalan

1.     Selepas Zaman Pertengahan, telah berlaku kemerosotan sistem feudalisme di Eropah. Keadaan ini telah membolehkan raja-raja mengumpul kekayaan dan mengukuhkan kedudukannya. Ini telah membawa kepada penubuhan negara bangsa iaitu sebuah negara yang bebas daripada konsep dunia empayar dan di bawah kedaulatan raja berkuasa mutlak.

2.     Negara bangsa di Eropah terbentuk melalui dinasti, keluarga baharu, perkahwinan diraja dan konsep empayar. Perkembangan ini berlaku di negara England pada abad ke-15 dan England berada  di bawah pemerintahan beraja mutlak hampir 2 abad iaitu bermula pada 1485 setelah berakhirnya Perang Bunga Ros. Sistem pemerintahan ini diasaskan oleh Raja Henry VII dari Dinasti Tudor yang memerintah England dan berakhir pada tahun 1603 semasa pemerintahan Ratu Elizabeth I.

3.     Mengikut sistem raja berkuasa mutlak, seseorang pemerintah (raja) berkuasa sepenuhnya untuk menggubal dan melaksanakan segala dasar dan kedudukannya adalah mengatasi undang-undang negara.

4.     Sepanjang pemerintahan Dinasti Tudor, England mempunyai kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan daripada rakyat. Kerajaan ini menghormati prinsip perbatasan kuasa pemerintah seperti mana yang terdapat dalam Magna Carta dan tidak membelakangkan parlimen.

5.     Dasar-dasar pemerintahan raja berkuasa mutlak di England seperti keagamaan, luar negeri dan perdagangan yang dijalankan oleh Raja Henry VII, Raja Henry VIII dan Ratu Elizabeth I diterima oleh rakyat.

6.     Namun demikian semasa pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1688), sistem pemerintahan beraja mutlak semakin diperkasakan oleh Raja James I dan Raja Charles I sebelum bertukar kepada raja berpelembagaan.

 
Perkembangan Sistem Pemerintahan Raja Berkuasa Mutlak

1.     Selepas tamatnya Perang Bunga Ros, sistem pemerintahan beraja mutlak telah diterima oleh rakyat kerana ingin menamatkan keadaan huru-hara yang berlaku.  Sistem beraja mutlak yang diasaskan oleh  Dinasti Tudor memperlihatkan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan rakyat. Pemerintahan Dinasti Tudor adalah berdasarkan kepada Magna Carta iaitu satu piagam yang digubal untuk mengawal kuasa raja. Raja-raja Tudor tidak mementingkan prinsip kesucian raja dalam melaksanakan pemerintahan mereka

2.     Raja-raja Tudor dapat bekerjasama baik dan dapat mengawal 2 buah dewan parlimen England yang terdiri daripada House of Lords (tuan tanah, bishop dan kerabat diraja) dan House of Common (knight, orang kaya dan peguam).

3.     Pada abad ke-17, muncul golongan gentry di luar bandar yang memiliki tanah dan menjadi kaya daripada golongan bangsawan. Di bandar pula muncul golongan bourjois yang semakin kaya dan menguasai ekonomi melalui kegiatan perdagangan. Kedua-dua kumpulan mula berani mempertikaikan pengaruh politik golongan aristokrat dalam House of Lords.

4.     Pada abad ke-17 juga, wujud perbalahan antara mazhab Kristian di England iaitu antara penganut Protestan (golongan puritan) yang tidak berpuas hati dengan gereja Anglican (gereja kebangsaan di England) di atas pengamalan tradisional gereja Kristian (Katolik). Golongan puritan ini ingin membersihkan amalan agama di England daripada pengaruh gereja Katolik Rom dan mahu gereja di England bebas daripada kawalan politik.

5.     Golongan puritan menjadi semakin berpengaruh dan menarik minat pelbagai golongan masyarakat kerana dalam ajaran mereka mengutamakan kehidupan berdisiplin dan menolak upacara atau istiadat agama yang tradisional. Pemerintah Dinasti Tudor berjaya menangani dengan baik tentangan golongan puritan yang tidak berpuas hati dengan golongan anglican dan ingin mewujudkan gereja yang bebas daripada kawalan politik.

6.     Selepas berakhir Dinasti Tudor pada tahun 1603, maka bermula pula era pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1702) di England yang diasaskan oleh Raja James I dari Scotland. Namun dasar pemerintahan Dinasti Stuart berbeza dengan Dinasti Tudor, dan ini telah membawa penentangan parlimen dan berlaku kebangkitan golongan puritan sehingga membawa tercetusnya perang saudara yang dikenali sebagai Revolusi Puritan (1642-1648).

7.     Raja James I merupakan raja yang berpegang kuat kepada doktrin kuasa suci raja. Baginda menegaskan bahawa kedudukan raja mengatasi kedudukan undang-undang. Oleh itu semua pihak seperti parlimen, mahkamah, gereja,  dan sebagainya mesti berkhidmat kepada raja dan bukannya berkongsi kuasa.

8.     Pemerintahan Raja James 1 mendapat tentangan daripada golongan puritan dan ahli-ahli parlimen kerana baginda mengamalkan dasar agama yang lebih memihak kepada mazhab Katolik. Golongan puritan juga telah menolak bishop yang dilantik oleh Raja James I dan kemarahan golongan ini memuncak apabila baginda mengahwinkan puteranya dengan puteri dari Perancis yang bermazhab Katolik. Tindakan baginda yang membelakangkan parlimen dalam urusan pengenaan cukai telah memburukkan lagi hubungan Raja James I dengan golongan puritan.

9.     Ketegangan hubungan ini telah mendorong Raja James I membubarkan parlimen pada tahun 1611. Tindakan baginda telah menyebabkan keadaan politik England kucar kacir dan lebih memburukkan keadaan apabila Raja Charles I yang memerintah England pada tahun 1625 juga tidak menyukai golongan puritan. Baginda juga bertindak membelakangi parlimen dalam urusan pengutipan cukai. Mana-mana ahli parlimen yang menentang baginda telah ditahan dan tentera akan mengawal mereka.

10.  Akibat tidak berpuas hati dengan pemerintahan kuku besi raja, maka rakyat telah bersatu untuk menafikan kuasa mutlak raja. Akibatnya pada tahun 1628 parlimen telah mengemukakan Petition of Right yang mengutuk tindakan autokratik raja. Akibat kecaman ini baginda telah menangkap 9 orang ahli parlimen yang menentang baginda secara terbuka di parlimen.  Sehubungan itu, baginda membubarkan parlimen dan memerintah secara mutlak tanpa parlimen selama 11 tahun.

11.  Raja Charles I telah mengenakan pelbagai jenis cukai dengan bebas dan menaikkan cukai dengan sewenang-wenangnya telah mengancam ahli-ahli parlimen. Dalam aspek agama pula, Raja Charles I memulihkan semula amalan roman khatolik sebagai amalan dalam gereja Anglican yang menyebabkan kebangkitan golongan puritan.

12.  Pada tahun 1639, Raja Charles I telah menubuhkan semula parlimen untuk tujuan mendapatkan peruntukkan yang diperlukan oleh baginda tetapi ahli parlimen enggan bekerjasama dengan baginda. Ini telah mendorong baginda membubar semula parlimen yang baru ditubuhkan dalam masa 3 minggu dan menangkap beberapa ahli parlimen.

13.  Pada tahun 1642, rusuhan telah berlaku di Ireland yang telah menyebabkan beberapa orang British bermazhab Protestan dibunuh oleh penganut Katolik. Sekali lagi berlaku pertikaian tentang penubuhan tentera sama ada dikendalikan oleh raja atau parlimen. Akhirnya peperangan telah berlaku dan tentera gereja di bawah pimpinan Oliver Cromwell telah berjaya mengalahkan tentera raja pada tahun 1645 dan tahun 1648.

14.  Raja Charles I telah dihukum bunuh dan parlimen telah mengisytiharkan England sebuah negara republik dengan Oliver sebagai ketua negara yang baharu. Pemerintahan Oliver berhadapan dengan kebangkitan 2 golongan iaitu levellers dan diggers yang dianggap mengancam pemerintahannya.

15.  Pada tahun 1658, Oliver meninggal dunia dan diganti dengan anaknya iaitu Richard Cromwell. Walau bagaimanapun dalam masa setahun memerintah beliau telah meletakkan jawatannya kerana tidak mendapat sokongan parlimen dan tentera.

 
Perkembangan Raja Berperlembagaan di England

1.     Sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak telah digantikan dengan raja berperlembagaan selepas berakhirnya Revolusi Cemerlang yang berlaku secara aman dan memberi impak yang besar terhadap perubahan landskap politik England selepas 1688.

2.     Raja Charles II telah ditabal sebagai raja England selepas Richard Cromwell meletak jawatannya dan mesti mengamalkan sistem beraja berperlembagaan. Sistem pemerintahan raja berperlembagaan juga membawa kepada perkembangan politik kepartian apabila wujud dua buah parti iaitu Parti Whig dan Parti Torries yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan aristokrat, gentry dan bourjuis. Golongan rakyat atau kelas bawahan masih tidak diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam politik di England ketika itu.

3.     Selepas Raja Charles II meninggal dunia pada tahun 1685, diganti pula oleh Raja James II yang lebih cenderung untuk memulihkan kembali doktrin kuasa suci raja. Oleh itu Raja James II telah disingkirkan dan kemudiannya Marry II dan Raja William of Orange telah ditabal sebagai raja England yang baharu selepas berlakunya Revolusi Cemerlang (1698) tanpa berlaku pertumpahan darah.

4.     Parlimen meluluskan Toleration Act dan Bill of Right pada 1699. Raja berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf raja sebagai ketua negara.

5.     Toleration Act bertujuan mewujudkan kebebasan beragama bagi penganut Kristian yang bermazhab Protestan di England. Manakala Bill of Right pula mengemukakan beberapa peruntukan berhubung dengan bidang kuasa raja dalam soal undang-undang dan pencukaian serta keadilan dan hak untuk mengecapi kebebasan.

6.     Raja berperlembagaan di England memerintah berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh parlimen dan tidak lagi mempunyai kuasa autokratik. Raja tidak boleh memansuhkan undang-undang yang telah diluluskan oleh parlimen. Raja tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam urusan mahkamah dalam aspek penguatkuasaan undang-undang

7.     Kedudukan parlimen menjadi semakin kuat apabila Act of Settlement diluluskan pada 1701 yang menetapkan hanya raja yang bermazhab protestan sahaja yang layak menjadi raja. Raja juga bertanggungjawab kepada parlimen sebagai institusi yang mewakili rakyat dan mempunyai keutuhan dalam soal legislatif dan eksekutif. Sistem pemerintahan beraja mutlak di England juga telah menghapuskan pergeseran antara raja dengan parlimen dalam soal-soal dasar pemerintahan dan keadaan ini secara langsung telah memperkukuhkan perpaduan dalam politik negara tersebut.

8.     Raja boleh menghadapi Petition of Right yang dikemukakan oleh rakyat dan mempertahankan kedudukannya berdasarkan undang-undang. Dalam menjalankan pemerintahan, raja tertakluk kepada perlembagaan dan juga dibatasi oleh undang-undang bagi membenarkan sesuatu tindakan yang diambil oleh raja

9.     Oleh yang demikian pada 1689 bermula sistem pemerintahan raja berpelembagaan di England dan kekal sehingga hari.

PEMERINTAHAN SISTEM RAJA MUTLAK DAN RAJA BERPERLEMBAGAAN DI PERANCIS

Pengenalan
 
Keruntuhan sistem beraja mutlak digantikan dengan sistem raja berperlembagaan hanya dalam tempoh yang singkat, iaitu lebih kurang setahun sahaja. Perancis kemudiannya menjadi negara republik yang penuh dengan keadaan huru-hara yang berlaku dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas.

Raja Louis XVI telah memutuskan untuk mengadakan perjumpaan, iaitu Perhimpunan Orang-Orang Kenamaan pada tahun 1787 sebagai langkah untuk mengatasi masalah kewangan Perancis. Perhimpunan itu dihadiri oleh 145 orang yang terdiri daripada ketua-ketua kaum bangsawan, ketua-ketua gereja, dan hakim dengan harapan semua golongan ini bersetuju cukai dikenakan ke atas mereka.

 
Persidangan Parlimen

Hal ini dipersetujui golongan bangsawan dengan syarat golongan bangsawan diberi keutamaan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka juga mahukan Menteri Kewangan Perancis, Colonne dipecat. Untuk mengelak konflik antara Kementerian Kewangan dan Estet Kedua iaitu golongan bangsawan, Neckar menasihatkan Raja Louis XVI memanggil semula parlimen untuk bersidang pada 1 Mei 1789. Rakyat Perancis diberi peluang untuk meluahkan segala rasa tidak puas hati mereka terhadap pemerintah melalui cahiers (senarai rungutan).

Parlimen yang bersidang buat kali pertamanya pada 5 Mei 1789 selepas 175 tahun tidak diadakan masih mengikut peraturan cara lama. Persidangan ini telah diadakan di Versailles. Semua upacara lama dikekalkan dan peraturan tersebut sudah tentu memberi keistimewaan kepada Estet Pertama dan Estet Kedua. Misalnya, ahli-ahli Estet Ketiga dikehendaki menunggu dalam tempoh yang lama di serambi yang terbuka di luar dewan persidangan di Versailles tetapi ahli-ahli daripada Estet Pertama dan Estet Kedua diberi masuk ke dewan dengan serta-merta.

Cara persidangan di parlimen juga mengikut cara lama, iaitu selepas membincangkan sesuatu usul, ahli-ahli dewan akan mengundi sama ada menyokong atau membangkang. Keadaan ini sudah tentu tidak akan menyebelahi Estet Ketiga kerana jika Estet Pertama dan Estet Kedua tidak menyokong bermakna undi akan menjadi satu lawan dua.

Oleh itu, Estet Ketiga menuntut supaya ketiga-tiga Estet disatukan dan pengiraan undi berdasarkan undi individu (kepala) yang terdiri daripada seluruh anggota parlimen (ketiga-tiga Estet). Persidangan ini gagal akibat perbezaan pendapat antara anggota ketiga-tiga dewan mengenai cara pengundian dilakukan. Raja Louis XVI pula membuat keputusan supaya peraturan lama mesti diguna pakai.

 
Perhimpunan Kebangsaan

Estet Ketiga mengingkari perintah Raja Louis XVI dan menjemput anggota-anggota Estet Pertama dan Estet Kedua berunding dengan mereka. Setelah perundingan dijalankan lebih kurang dua minggu, kebanyakan anggota Estet Pertama dan Estet Kedua menolak cadangan menggabungkan ketiga-tiga Estet.

Pada 12 Jun 1789, Estet Ketiga mengisytiharkan diri mereka sebagai Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Negara). Revolusi Perancis sebenarnya bermula dengan perisytiharan Estet Ketiga sebagai Perhimpunan Kebangsaan.

Penasihat Louis XVI mendesak supaya diadakan Persidangan Diraja bagi ketiga-tiga dewan dan baginda akan memberikan arahannya sendiri. Oleh itu, satu perjumpaan dirancang antara Raja Louis XVI dengan anggota Majlis Perhimpunan (dahulunya Estet Ketiga). Dewan tempat persidangan itu disediakan untuk Majlis Perhimpunan di dalam istana Versailles.

 
Sumpah Gelanggang Tenis

Marie Antoinette meminta Raja Louis XVI mengambil tindakan yang tegas terhadap anggota Majlis Perhimpunan. Apabila ahli-ahli Perhimpunan Kebangsaan bersama­-sama pemimpin mereka menuju ke dewan, mereka dapati pintu-pintu dewan telah dikunci dan dikawal oleh tentera atas arahan Raja Louis XVI.

Anggota Perhimpunan Kebangsaan melarikan diri dan mereka telah berhimpun di gelanggang tenis pada 20 Jun 1789. Mereka telah mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan bersurai dan akan terus bersidang sehingga mereka menggubal perlembagaan Perancis. Peristiwa mi dikenali sebagai “Sumpah Gelanggang Tenis”.

Persidangan Diraja bagi semua Estet berlangsung pada 23 Jun 1789. Dalam ucapan semasa perhimpunan itu, Raja Louis XVI mengemukakan pelbagai cadangan pemulihan untuk pertimbangan Estet-estet. Baginda seterusnya memerintahkan supaya ketiga-tiga Estet bersidang bersendirian, lalu baginda meninggalkan dewan. Golongan bangsawan dan paderi turut meninggalkan dewan, tetapi ahli Estet Ketiga masih tetap di kerusi masing-masing walaupun disuruh meninggalkan dewan oleh Juruacara Raja.

Golongan revolusi mara ke hadapan Juruacara dan menyatakan “Pergi kamu beritahu ketua kamu, yang kami di sini adalah dengan kehendak rakyat dan kami tidak akan pulang melainkan di hujung senjata benet!”. Sebilangan golongan bangsawan dan paderi turut menyertai Perhimpunan Kebangsaan. Ini merupakan satu daripada peristiwa penting dalam Revolusi Perancis.

 
Pemberontakan Rakyat

Prinsip perjuangan golongan Majlis Perhimpunan (Estet Ketiga) yang terdiri daripada kelas menengah menjadi semakin ketara kerana mereka menuntut konsep persamaan dan keadilan dipraktikkan bukannya diberi sesuatu keistimewaan kepada rakyat berdasarkan hak atau warisan turun­ temurun. Mereka mahukan hak individu golongan yang berkemampuan dan berbakat khasnya kelas pertengahan diberi perhatian sewajarnya.

Golongan miskin masih tidak mendapat tempat namun mereka turut menyertai kelas pertengahan menentang golongan raja, paderi, dan bangsawan kerana mereka juga bencikan keistimewaan yang diberi kepada golongan atasan selama ini.

Walaupun golongan bangsawan istana dan ahli keluarga raja mahu menggagalkan Perhimpunan Kebangsaan dengan menubuhkan satu pasukan tentera di bawah pimpinan Marshall de Broglie tetapi mereka tidak mampu menghalang kehendak rakyat untuk menghapuskan sistem monarki. Malah sebahagian tentera de Broglie menyertai Perhimpunan Kebangsaan.

Pada 14 Julai 1789, golongan pemberontak telah menggempur penjara Bastille di mana penjara ini menempatkan tahanan politik seperti Voltaire dan Diderot. Kejatuhan bangunan ini memberi semangat kepada golongan revolusi di kawasan bandar dan desa. Kejatuhan Bastille tidak dilupakan oleh rakyat Perancis hingga kini. Malah Hari Kebangsaan Perancis dirayakan pada 14 Julai setiap tahun sempena peristiwa ini.

Persidangan Perhimpunan Kebangsaan

Perhimpunan Kebangsaan telah mengadakan persidangan pada 4 Ogos 1789. Perhimpunan ini telah berjaya mengubal perlembagaan baru bagi negara Perancis, berjaya menghapuskan sistem feudal, perhambaan, dan golongan istimewa. Monopoli golongan bangsawan dihapuskan (tanpa pampasan), cukai yang sama untuk semua golongan, menghapuskan buruh paksa (corvee), cukai, dan semua jenis hak istimewa gereja ditarik balik.

Seterusnya Perhimpunan Kebangsaan telah memperjuangkan kebebasan memiliki harta benda, perlindungan, dan menentang penindasan dengan meluluskan Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara (Declaration of the Rights of Man and the Citizen pada 27 Ogos 1789. Perisytiharan ini mengiktiraf semua manusia dilahirkan dan kekal bebas dan mempunyai hak yang sama. Rakyat bebas untuk bertukar-tukar pendapat dan tiada sesiapapun yang boleh dituduh, ditangkap dan ditahan, melainkan ditentukan oleh undang-undang.

Setelah sistem feudal dihapuskan, sistem pentadbiran baharu dibentuk. Perancis telah dibahagikan kepada 83 kawasan, luasnya lebih kurang sama besar dan sama jumlah penduduknya. Setiap kawasan (department) dibahagikan pula kepada daerah-daerah (cantons) dan commune.

 
Penubuhan Kerajaan Raja Berperlembagaan

Menjelang bulan Julai 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan telah menyiapkan satu perlembagaan baru yang ditandatangani oleh Raja Louis XVI. Berdasarkan idea Montesquieu melalui teori pengasingan kuasa yang diutarakannya, kerajaan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu badan legislatif, badan eksekutif, dan badan judisiari. Pemerintahan raja berperlembagaan berlangsung selama setahun kemudian sistem pemerintahan Perancis bertukar menjadi republik.

 
Pengisytiharan Kerajaan Republik

Keadaan negara Perancis masih tidak aman iaitu berlaku perpecahan dalam kalangan pendukung revolusi, iaitu golongan jacobin dan girondin. Perancis terlibat dalam peperangan dengan negara jiran mereka, iaitu Austria dan Prusia. Keputusan perang diambil kerana ancaman puak imigres (bangsawan yang melarikan diri) yang bekerjasama dengan kedua­-dua kuasa berkenaan. Maharaja Austria, Francis II dan Raja Frederick William II dari Prusia terlibat dalam peperangan ini kerana mahu mempertahankan sistem monarki di Perancis.

Pada bulan April 1782, Perancis mengisytiharkan peperangan terhadap Austria. Manakala Raja Louis XVI telah ditahan dalam penjara. Pada bulan September 1792, Perhimpunan Perundangan digantikan dengan Constitutional Convention. Perkembangan ini menyebabkan negara Perancis diisytiharkan sebagai sebuah republik.

 
Pemerintahan Diktator Oleh Golongan Jacobin

Dalam keadaan kacau-bilau dari ancaman luar itu, sebuah badan telah ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal dalam negeri iaitu Jawatankuasa Keselamatan Awam. Jawatankuasa ini banyak dianggotai oleh pengikut golongan Jacobin yang dipimpin oleh Maximilien Robespierre Danton dan Marat. Pemerintahan diktator yang dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas yang berlaku dari bulan Jun 1793 hingga Julai 1794.

Kumpulan ini mewujudkan Mahkamah Revolusi dan menggubal Undang-undang Syak. Sesiapa sahaja yang disyaki musuh revolusi dan golongan yang menyokong raja dihukum pancung dengan menggunakan gilotin. Dikatakan pada zaman ini lebih 40 ribu orang dijatuhkan hukuman mati.

Malah, Raja Louis XVI dipancung dengan menggunakan gilotin pada 21 Januari 1793 manakala isterinya iaitu Marie Antoinnette juga dipancung menggunakan gilotin 16 Oktober 1793. Robespierre juga dikenakan hukuman pancung dengan gilotin oleh puak-puak yang menyokong parlimen.

Selepas kematian Robespierre pada 28 Julai 1794, berakhirlah Zaman Pemerintahan Ganas di Perancis. Keadaan tidak stabil berlarutan sehinggalah munculnya Napoleon Bonaparte mengambil alih kuasa pemerintahan di Perancis pada penghujung tahun 1799.

 
Penubuhan Kerajaan Directory

Selapas tamat pemerintahan ganas, sebuah perlembagaan baru diperkenalkan pada bulan Oktober 1794. Dengan itu, Constitutional Convention telah dibubarkan dan diganti dengan kerajaan baru yang dikenali sebagai directory untuk mentadbir kerajaan.

Badan perundangan dan badan eksekutif telah ditubuhkan untuk melincinkan pentadbiran. Badan perundangan terbahagi kepada 2 buah majlis iaitu Majlis Orang Tua (Council of Elders) dan Majlis Lima Ratus (Council of Five Hundred). Golongan yang memiliki harta berhak untuk mengundi dalam pilihan raya serta menjadi ahli badan perundangan. Badan eksekutif pula berada di tangan di directory yang dianggotai oleh 5 orang. Pemerintahan kerajaan ini berakhir pada tahun 1799 apabila ia digulingkan oleh Napoleon Bonaparte.