Sabtu, 26 April 2014

Trial P2 2014

PANDUAN SKEMA JAWAPAN

Soalan 1 : Huraikan kepentingan Sahifah Madinah dalam membentuk satu pemerintahan Islam di Madinah.

Pengenalan
  • Perlembagaan bertulis yang pertama memenuhi syarat-syarat perlembagaan.
  • Digubal oleh Nabi Muhammad dalam usaha menegakkan sebuah kerajaan Islam di Madinah.
  • Mempunyai 10 bab dan dipecahkan kepada 47 fasal.
  • Baginda mendapati ada beberapa faktor yang perlu kepada penyelesaian iaitu menggariskan hak dan tanggungjawab orang-orang Islam dan bukan Islam, persefahaman dengan orang-orang bukan Islam terutama orang Yahudi, mempertahankan Madinah dan menggubal sistem perundangan dan kehakiman.
Isi penting
Kepentingan Piagam Madinah
1. Semua kaum bertanggungjawab mempertahankan Madinah
  • Penduduk Madinah harus bersama-sama mempertahankan Madinah tidak kira yang beragama Islam atau bukan Islam.
  • Mereka tidak boleh mengadakan hubungan dengan musuh-musuh Islam bagi tujuan menentang negara Islam madinah.
  • Semangat cinta akan Kota Madinah dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi menghindari permusuhan sesama sendiri sehingga menyebabkan musuh dapat mengambil alih kota Madinah.
  • Islam menganggap  orang Yahudi sebagai warganegara dan ummah bersama orang Islam selagi mereka menjalankan tanggungjawab yang dikenakan ke atas mereka.
2. Menjamin kebebasan kaum Yahudi
  • Piagam Madinah juga menitikberatkan dan menjamin kebebasan kaum Yahudi dan penganut-penganut agama lain untuk menganut dan mengamalkan ibadat agama mereka sendiri.
  • Tujuannya supaya kaum Yahudi tidak menyebarkan agama mereka di Madinah dan mengelakkan permusuhan sesama sendiri.
  • Rasulullah mempersetujui bahawa tiada paksaan dalam kepercayaan dan anutan agama.
3. Terbentuk sebuah kerajaan Islam yang kuat dan kukuh
  • Orang Islam bebas berhimpun dan bermesyuarat bagi membincangkan masalah politik dan pentadbiran negara.
  • Sebuah negara Islam telah berjaya dibentuk dan mewujudkan kesedaran bahawa mereka ialah masyarakat yang kuat dan bersatu padu serta Madinah adalah milik bersama.
  • Piagam Madinah mengakui hak dan tanggungjawab penduduk Madinah termasuk orang bukan Islam untuk mendapat perlindungan dan keselamatan dari segi pengadilan dan perundangan.
  • Mereka mempunyai kewajipan bersama untuk mempertahankan negara dan perbelanjaan bagi mempertahan negara adalah tanggungjawab bersama.
4. Kebebasan kepada setiap penduduk
  • Setiap penduduk diberi kebebasan hak asasi yang sama rata.
  • Tiada lagi penindasan seperti yang dilakukan oleh orang Yahudi ke atas orang yang lemah supaya dapat menjamin keharmonian hidup semua penduduk Madinah.
  • Kebebasan ini meliputi kebebasan diri, agama, berfikir dan bersuara, beramal, bekerja dsb.
  • Jaminan kebebasan meliputi segi aspek kehidupan selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

5. Menyatupadukan masyarakat Madinah
  • Hubungan baik dapat diadakan dengan masyarakat  Islam dan orang-orang bukan Islam melalui sifat saling menghormati, bertanggungjawab dsb.
  • Perlembagaan Madinah memainkan peranan supaya masyarakat berbilang bangsa di Madinah dapat hidup aman damai, teratur dan bersistem serta menghindari permusuhan.
6. Nabi Muhammad sebagai pemerintah tertinggi dan unggul di Madinah
  • Nabi Muhammad merupakan seorang negarawan yang tulen dan berwibawa.
  • Ketokohan baginda yang cuba menonjolkan agama Islam bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek akidah tetapi juga dalam hal ehwal duniawi.
  • Baginda bertanggungjawab menyelesaikan masalah perselisihan kaun dan mewujudkan satu institusi kebaikan dan keadilan di Madinah.
  • Peruntukan dalam fasal 23 dan 42 Piagam Madinah menjelaskan bahawa apabila timbulnya perbezaan dan pertelingkahan, maka penyelesaian mengikut hukum Islam dan keputusan Rasulullah dibuat.
  • Perlembagaan ini meletakkan kedudukan baginda sebagai ketua dan hakim negara yang tinggi.
7. Dapat mengatur hubungan kaum Yahudi
  • Masyarakat Yahudi bebas mengamalkan adat istiadat mereka tanpa sekatan.
  • Mereka tidak boleh memaksa orang Madinah untuk menganut agama mereka kerana kebasan telah diberikan kepada mereka.
  • Mereka tidak dibenarkan menindas orang yang lemah.
  • Mereka yang mematuhi piagam ini akan diberi jaminan iaitu perlindungan dan keselamatan selagi mereka tidak melakukan kejahatan dan memungkiri janji.
8. Konsep persamaan dan keadilan kepada semua penduduk
  • Piagam Madinah meratakan kekayaan antara masyarakat bagi mengelakkan penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin.
  • Tujuan keadilan – menolak dan menghindarkan keburukan dan memberi kebaikan serta hak kepada seseorang berdasarkan syariat Islam.
  • Piagam Madinah mengingatkan warganya supaya berlaku adil dan tidak menganiayai manusia bahkan hendaklah sentiasa tolong menolong dan setiap kezaliman hendaklah dihapuskan seperti yang termaktub dalam fasal 13 piagam tersebut.
9. Perpaduan umat Islam
  • Penduduk Madinah diseru agar saling bekerjasama dan bersatu padu memandangkan umat Islam di Madinah terbahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu golongan Ansar dan golongan Muhajirin.
  • Persaudaraan Islam bertujuan untuk menjalin dan mengeratkan hubungan persahabatan sesama Islam tanpa mengira keturunan, tempat tinggal dan warna kulit.
  • Persaudaraan ini dapat melahirkan masyarakat Islam yang sebenar, kukuh dan padu, mempunyai kefahaman dan kerjasama yang erat serta cinta akan kedamaian dan kesejahteraan hidup.
10. Pemerintahan bercorak musyawarah
  • Semua kaum boleh mengemukakan pendapat kerana Piagam Madinah melahirkan pemerintahan yang berpegang teguh kepada prinsip yang dipanggil musyawarah.
  • Contohnya, Nabi Muhammad pernah ditegur oleh sahabat semasa pemilihan tempat dalam Perang Badar.
  • Sifat demikian akan mengeratkan lagi hubungan antara pemerintah dan rakyat.
Kesimpulan
Kesan daripada Piagam Madinah, Nabi Muhammad s.a.w telah dapat membentuk sebuah negara Islam yang kukuh dan diterima serta dihormati oleh negara-negara luar.

 
Soalan 2: Huraikan pembaharuan Khalifah Umar al- Khattab dalam sistem pentadbiran Islam
Pengenalan.
Nama sebenar beliau ialah Umar bi al Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza. Khalifah Umar al Khattab merupakan khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin.  Beliau dilantik melalui wasiat yang dibuat oleh khalifah terdahulu iaitu Khalifah Abu Bakar sebelum beliau meninggal dunia. Wasiat ini dilihat perlu kerana bimbang berlaku perselisihan faham dan keadaan pecah belah dalam kalangan umat Islam seperti yang berlaku semasa mencari pengganti pemerintahan Nabi Muhammad (SAW).

Sebelum perlantikan dibuat, khalifah Abu Bakar telah bermesyuarat secara bersendirian dengan para sahabat seorang demi seorang  bagi menentukan ketepatan pilihan beliau. Para sahabat sebulat suara bersetuju dengan Umar sebagai calon khalifah.  Penyerahan jawatan secara bertulis terus dibuat oleh Khalifah Abu Bakar . 

Sungguhpun perlantikan beliau melalui wasiat, tetapi proses perlantikan masih memenuhi prinsip syura kerana permesyuaratan dibuat terlebih dahulu dan perlantikan beliau  mendapat sokongan ramai.

Pembaharuan dalam bidang pentadbiran:
a) Pembentukan Majlis Syura iaitu suatu majlis perunding yang tertinggi .  Malis Syura terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Antara anggota majlis ialah Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain lagi.  Majlis akan membincangkan hal politik, keselamatan dan menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dan hubungan luar. Sebarang pandangan boleh diutarakan dalam majlis tersebut.

b) Membahagikan wilayah-wilayah Islam
Wilayah Islam semakin luas disebabkan kejayaan ekspedisi perluasan kuasa maka Khalifah Umar bertindak membahagikan wilayah bagi melicinkan pentadbiran wilayah Islam itu.  Pelantikan pegawai dibuat oleh Umar untuk mentadbir wilayah itu dan pada setiap musim haji mereka haruslah membuat laporan . Umar akan melantik pegawai-pegawai yang cekap seperti Muawiyah bin Abu Sufian, Amru al Aus dan lain-lain lagi.  Gabenor yang dilantik haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi menggelakkan daripada amalan rasuah . Semua ini dilakukan untuk memastikan pentadbiran Islam mengikut landasan yang sebenar.

c) Memperbaharui Undang-Undang Pentadbiran Tanah. 
Kawasan yang semakin luas memerlukan urusan pengendalian tanah yang baru. seperti :
- Tanah awam di Mesir, Syiria dan Iraq menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil daripada tanah tersebut digunakan untuk membiayai kemudahan awam negara
- Tanah yang dimiliki rakyat tidak akan dirampas tetapi dikenakan cukai.
- Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari tanah jajahan kecuali melalui pembelian.  Cara ini berbeza dengan pentadbiran tanah sebelum ini iaitu tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

d) Mengasaskan al Diwan iaitu daftar atau buku catatan untuk mencatat nama tentera  dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing. Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan jasa seseorang dalam ekspedisi ketenteraan.

e) Perluasan wilayah Islam . Merupakan satu polisi negara.  Kawasan yang dikuasai termasuk Syam, Mesir, dan Afrika Utara.
Pembaharuan dalam bidang ekonomi:
A. Memajukan sistem pertanian
Membuka tanah baharu dan mengadakan projek pengairan di Mesir dan di Iraq iaitu membina Terusan  Amirul Mukminin yang menghubungkan Sg Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 km. Empangan Abu Musa yang menyambung Sg Dijlah dengan Bandar Basrah.  Tanah dikaji selidik bagi menanam tanaman yang bermutu.  Rakyat digalakkan membuka tanah baharu bagi meningkatkan hasil pertanian.  Tanah yang tidak diusahakan akan ditarik oleh kerajaan.

B. Baitulmal
Merupakan  institusi yang bertanggungjawab untuk menyimpan, memelihara dan mengawal penggunaan harta negara. Sumber perbendaharaan negara diperoleh daripada zakat, Ghanimah, al-Fai, Jizyah dan kharaj.  Sistem cukai ini dapat menambah pendapatan negara.

Pembaharuan dalam bidang sosial:
A. Polisi baharu bagi golongan zimmi
Cukai tanah dan cukai tanah dikenakan kepada golongan ini tetapi dengan kadar yang rendah dan tidak membebankan.  Taraf mereka adalah sama rata.  Sesiapa daripada mereka yang menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas malah harta yang tidak dapat dibawa akan dibayar ganti rugi oleg pihak kerajaan.

B. Membaharui taraf golongan hamba
Mereka diberi hak dan kepentingan sosial dan taraf  yang baik.Mereka tidak ditindas dan dihina malah hidup bebas seperti golongan lain.Hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dipisahkan daripada keluarga mereka. Pegawai yang tidak menjaga kebajikan golongan hamba akan diambil tindakan.

C. Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Langkah mengembangkan ajaran al-Quran diambil dengan menyediakan guru-guru yang dihantar ke serata tempat untuk mengajar pelbagai bidang ilmu dan diberi gaji yang lumayan.  Sekolah ditubuhkan di masjid untuk mengajar ajaran Islan di seluruh wilayah. Akitiviti menhafal surah al Quran sangat digalakkan dan akan diberi ganjaran atas usaha tersebut

D. Mewujudkan Takwim Hijrah – Beliau mengasaskan kalendar Hijrah dengan menjadikan Peristiwa Hijrah sebagi pengiraan tersebut. Urusan  pentadbiran Islam akan dipermudahkan.

Kesimpulan:
Khalifah Umar meninggal dunia pada tahun 644 M apabila dibunuh oleh seorang hamba berketurunan Majusi Parsi bernama Abu Lu’lu’ah kerana menyimpan dendam terhadap beliau. Tikaman sebanyak 6 kali ketika sedang mengimami solat di Masjid Madinah telah membawa kematian Khalifah Umar.   Pencapaian beliau sememangnya menjadikan pentadbiran Islam licin dan membawa kepada era kegemilangan kerajaan Islam semasa beliau memerintah.



Soalan 3: Bincangkan kepentingan institusi ekonomi Islam sehingga abad ke-11.  [ 20 ]

Pengenalan
Institusi ekonomi Islam adalah merujuk kepada Baitulmal, yang merupakan institusi yang menyelenggara sumber-sumber pendapatan negara serta tempat menyimpan barangan berharga dan harta amanah. Baitulmal ini dikatakan sudah wujud pada zaman Rasulullah tetapi tidak berfungsi secara formal, begitu juga pada zaman pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq tetapi semasa zaman pemerintahan Umar al-Khattab institusi Baitulmal telah muncul sebagai instutusi kewangan yang penting dan telah diuruskan secara lebih sistematik. Antara sumber-sumber Baitulmal adalah zakat, Jizyah, Kharaj, Usyur, Ghanimah dan Fay, sedekah, harta karun dan wakaf.

Kepentingan Baitul Mal
1. Membasmi kemiskinan
  • pengagihan zakat kepada golongan yang berhak
  • masalah golongan kurang berkemampuan dapat diselesaikan
  • mengurangkan jurang sosial
2. Menyediakan keperluan-keperluan asas
  • menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, pelaburan, aktiviti sosial dsb
  • menjadi tanggung jawab sosial kerajaan
  • menjaga kebaikan masyarakat Islam
3. Meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam
  • meningkatkan taraf pendidikan
  • mengeluarkan biasiswa/ bantuan kewangan untuk golongan yang memerlukannya
4. Membayar gaji golongan pegawai kerajaan  dan golongan tentera
  • melarang pemilikan harta rampasan perang
  • tanah tidak bertuan diamanahkan untuk diusahakan
  • Gaji tetap dibayar daripada hasil negara
5. Menjaga harta yang diwakafkan
  • peranan menjaga segala harta negara
  • Harta wakaf merupakan salah satu sumber
  • Menjadi pemegang amanah jika tidak ada waris
Kesimpulan
Baitulmal meruapakan institusi ekonomi yang amat penting semasa pemerintahan Umar al-Khattab sehingga pada zaman khalifah Harun al-Rasyid. Namun begitu, selepas pemerintahan al-Ma”mun keadaan instutusi kewangan ini semakin meruncing sehingga pentadbiran diambil alih oleh Bani Saljuk. Akhirnya kerajaan Abbasiyyah dikalahkan oleh tentera Monggol (Tartar) sekaligus dapat menguasai perbendaharaan kerajaan pusat Abbasiyyah.



Soalan 4: Ibn khaldun merupakan pelopor kepada pemikiran moden dalam bidang ilmu kemasyarakatan.
                 Buktikan tentang pernyataan tersebut.

Pengenalan
Ibn Khaldun lahir pada 1332 M di Tunisia. Nama sebenar beliau adalah Abd al-Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami. Beliau seorang pakar dalam ilmu agama seperti fikah, tafsir dan hadis.  Ibn Khaldun seorang yang sangat cintakan ilmu.beliau pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Ahli Persuratan di Istana Faz, menjadi Hajib di Bougie dan menjadi Hakim Mahkamah Raja di Mesir. Dalam ilmu aqli beliau pakar dalam bidang falsafah, matematik dan sejarah. Kepakaran beliau dibuktikan melalui hasil penulisan terkenal beliau iaitu Kitab Al-Ibar yang berkisar mengenai ilmu sosiologi sehingga beliau dianggap sebagai ahli sejarah dan falsafah agung sepanjang zaman oleh sarjana Barat.
Isi-isi utama
1.Sumbangan dalam bidang sosiologi
  • Beliau telah melakukan revolusi terhadap pengkajian sejarah sedia ada.
  • Beliau membahagikan kajian sejarah kepada dua kategori asas iaitu akal dan undang-undang sosial dan fizikal keadaan setempat.
  • Beliau orang pertama yang mengkaji sejarah dari skop sebab dan akibat.
  • Beliau mengaitkan perubahan sistem sosial antara masyarakat dengan faktor persekitaran seperti iklim, tanah, makanan, sumber galian, kemampuan berfikir, jiwa dan emosi mereka.
  • Beliau memperkenalkan teori dalam mengkaji usia sesebuah kerajaan.
2. Sumbangan dalam bidang kebudayaan
  • Beliau merupakan penggiat budaya dan kesusasteraan Arab
  • Merupakan seorang penyair yang hebat
3. Sumbangan dalam bidang ilmu dan pemikiran Islam
  • Merupakan pelopor pemikiran moden dalam bidang sejarah, politik, ekonomi, sosiologi dan pendidikan
  • Hasil karya beliau sering dijadikan wacana, seminar, bengkel dan persidangan ilmiah
4. Sumbangn dalam bidang ekonomI
  • Dianggap bapa ekonomi Islam
  • Memperkenal teori-teori ekonomi seperti keadilan, rajin, kerjasama, kesedehanaan dan ‘fairness’
  • Keadilan merupakan tulang belakang dan asas kegiatan ekonomi
  • Masyarakat Islam memerlukan pengtahuan ekonomi untuk memenuhi misi di muka bumi
  • Manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki diri
  • Kehidupan perekonomian sentiasa menghala kearah keseimbangan antara penawaran dan permintaan
  • Pengeluaran berasaskan faktor buruh dan kerjasama masyarakat
  • Beliau berpendapat kenaikan harga perlu untuk mengekalkan produktiviti

Kesimpulan
Kesimpulannya ketokohan Ibn Khaldun dalam bidang ilmu kemasyarakatn tidak dapat dinafikan. Idea-idea yang dilontarkan dalam hasil karya penulisannya memberikan sumbangan besar kepada peradaban manusia. Sumbangan beliau banyak mengkhusus dalam bidang ilmu sejarah, sosiobudaya dan ekonomi menjadi sumber rujukan masyarakat. Beliau meletakkan asas bagi perkembangan sejarah bercorak saintifik.

 *Lain-lain isi yang berkaitan boleh diterima.



Soalan 5: Huraikan keunikan senibina dalam tamadun Islam di India.

Pengenalan.
Pada abad ke 16, menyaksikan India diperintah oleh Kerajaan Islam Monghul yang mengambil alih daripada pemerintahan kesultanan Delhi yang terakhir iaitu dinasti Lodi.  Kerajaan ini diasaskan oleh Babur  pada tahun 1526 setelah berjaya mengalahkan  Sultan Ibrahim Lodi dalam perang Panipat. Walaupun berlaku pertembungan budaya Islam dan tradisional India, segala budaya tempatan  tetap diterima dengan mudah oleh seni bina Islam yang bersifat universal.  Kerajaan Monghul yang memerintah India telah mencapai tahap ketamadunan yang tinggi. Pada zaman pemerintahan Shah Jehan mereka telah banyak membina bangunan yang hebat seperti kubu pertahanan di Agra , kompleks kerajaan, masjid Moti, istana  Taj Mahal, kompleks pemakaman dan sebagainya. Keunikan senibina Islam dapat dilihat dalam aspek kemudahan, rekebentuk, bahan dan hasil keindahan kesenian Islam.

Isi-Isi Utama
Kompleks yang mengandungi pelbagai kemudahan   dalam seni bina istana, masjid dan kompleks. Contohnya kompleks Fatehpur iaitu sebuah Bandar yang didirikan oleh Akbar. Kompleks ini mengandungi istana, bilik berbentuk bangunan peribadi, pentadbiran , perbendaharaan. Terdapat juga bangunan sekolah, kawasan permainan, masjid, dewan taman, rumah pekerja, bilik rekod dan sebagainya. Begitu juga kubu agra yang mengandungi yang mengandungi masjid  dan istana.Istana Taj Mahal terdapat tembok batu  tempat bersemayam pemerintah yang juga merupakan ruang rasmi pemerintah.

Bahan binaan untuk membina masjid dan monumen.  Di antaranya menggunakan  bahan-bahan seni bina  Hindu terutama bekas pembinaan  candi-candi Hindu. Misalnya terdapat  terdapat tiang-tiang masjid yang dibina yang dibina masih menggunakan ukiran-ukiran unsur Hindu dengan jelas. Hal ini terjadi kerana bahan-bahan binaan yang digunakan diambil daripada peninggalan  bangunan-bangunan candi. Contohnya , masjid tertua di Delhi iaitu Masjid Qutubuddin. Gapura (pintu gerbang)  pada dinding bahagian hadapan yang mengarah ke kiblat masih mempamirkan ciri bangunan ala  India. Bahan binaan untuk membina untuk membina  istana Taj Mahal, pula menggunakan marmar merah yang menimbulkan kontra yang menarik dengan bahagian induk di tengah yang menggunakan marmar biru dan putih.Sebanyak 43 jenis batu pemata digunakan termasuk berlian, jed , kristal dan nilam untuk menghasilkan satu bangunan yang diiktifaf salah satu tujuh keajaiban dunia.

Rekabentuk binaan yang memperlihatkan ciri-ciri tempatan dan Islam. Namun setelah kedatangan Islam, senibina Islam telah meresap masuk seperti dari Parsi, Turki dan Arab yang bergabung dnegan seni bina temapatan yang akhirnya  menonjolkan keunikan tersendiri . Monumen tersebut dapat dilihat binaan Taj Mahal yang juga didirikan masjid yang seolah-olah tiga atau tujuh buah mihrab yang dibina bersebelahan. Kubahnya berbentuk oktogon dan berkedudukan dalam paksi simentri yang dibina di atas podium atau pentas batu marmar putih yang diapit oleh empat menara runcing.Bentuk binaan masjid di India pula  umumnya menyerupai masjid  yang dilengkapi gapura(pintu gerbang),menara, kubah  dan mihrab yang dihiasi indah dengan motif-motif arab.contohnya masjid lapan mutiara di Agra.

Kesenian Islam dalam senibina, terdapat ayat Al Quran yang digunakan untuk menjadi hiasan utama pada TajMahal terutama pada dindingnya, antara surahnya ialah surah Yasin,al Ikhlas dan az-Zumar.Huruf khat thuluth menjadi seni huruf utama yang digunakan. Jurukhat bernama Amanat Khan telah dibawa dari Parsi yang bertanggungjawab untuk mengukirnya. Pandangan dan ekspresi apabila melihat taj Mahal adalah berbeza,iaitu merah muda pada waktu pagi, putih susu malam hari dan bersinar keemasan pada masa bulan bersinar.kebanyak corak hiasan  bersunsurkan jambangan bunga dan alam sekitar yang dicantumkan dengan bentuk geometrid dan kaligrafi.

Menara yang tinggi dalam pembinaan bagunan dan masjid .Senibina Islam di India mempunyai menara yang tinggi. Menara Qutubminar misalnya mencecah 70 meter tinggi dan terdiri daripada lima tingkat. Selain itu tedapat empat menara yang mempunyai ketinggian melebihi 46 meter menghiasi setiap penjuru TajMahal.Menara yang indah dihiasi kaligrafi Arab

Kesimpulan
Senibina merupakan salah satu kegiatan seni yang digalakkan oleh agama Islam disebabkan sifat agama Islam yang menyukai sesuatu yang indah.Hal ini menyebabkan senibina Islam juga meresap dalam tamadun India yang sangat tekenal dengan negara yang terawal mengamalkan ajaran Hindu.Kehebatan seni bina Islam di India, terbukti pabila Bangunan Taj Mahal  dan Kota Merah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO .


SOALAN 6: FAKTOR – FAKTOR PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA TURKI UTHMANIYAH
Pendahuluan
Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) gerakan tanzimat,iaitu pembaharuan atau reformasi berada pada kemuncaknya. Baginda merupakan sultan empayar Turki Uthmaniyah yang terakhir yang mempunyai kuasa autonomi ke atas empayarnya. Sepanjang tempoh pemerintahannya selama 33 tahun, baginda Berjaya menjalankan pembaharuan dan dapat mengelakkan tekanan kuasa Barat terhadap empayar Islam. Pada tahun 1876, perlembagaan yang diluluskan oleh baginda menekankan persamaan hak tanpa mengira agama. Sejak awal abad ke-20, baginda berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan rakyat dan empayar Islam namun kuasa baginda merosot dan baginda dilucutkan sebagai Sultan Uthmaniyah. Pembentukan negara bangsa Turki yang bermula pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II didorong oleh beberapa faktor.

Isi  1 : Tekanan Kuasa –kuasa Barat
Antara faktor yang penting ialah tekanan kuasa-kuasa Barat. Kuasa imperialis seperti Britain,Perancis dan Rusia bersaing antara satu sama lain untuk menguasai kekayaan kawasan Turki Uthmaniyah. Kuasa –kuasa besar tersebut bergabung untuk menghacurkan empayar Turki Uthmaniyah. Pihak Barat juga menghasut penduduk bukan Islam di wilayah Turki Uthmaniyah untuk memberontak. Negara-negara Eropah ingin menghancurkan empayar Turki Uthmaniyah untuk merebut wilayah-wilayah dan harta peninggalannya. Tindakan kuasa-kuasa Barat ini mendorong sultan empayar Turki Uthmaniyah untuk menguatkan pembentukan negara-negara Turki.
Isi 2 : Dasar Pan-Islamisme
Dasar Pan-Islamisme juga dikaitkan dengan pembentukan Negara bangsa Turki. Dasar ini menekankan fahaman perpaduan dan kerjasama umat Islam di bawah kepimpinan khalifah yang membela hak umat Islam sejagat. Kefahaman ini bukan sahaja disebarkan di Turki tetapi juga di seluruh dunia. Melalui dasar ini, umat Islam di Turki digesa untuk bersatu padu di bawah kepimpinan Sultan Abdul Hamid II. Baginda berusaha membangunkan keagungan Khalifah Islamiyyah. Tokoh-tokoh seperti Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Rida membantu sultan menggerakkan program Pan-Islamisme untuk menahan kemaraan kuasa-kuasa Barat. Penyatuan umat Islam ini juga menyebabkan pembentukan negara bangsa Turki.
Isi 3 : Pendidikan
Pada zaman Sultan Abdul Hamid II, system pendidikan diberi keutamaan. Tujuan sistem pendidikan adalah untuk memajukan empayar Turki supaya setaraf dengan negara-negara Barat. Banyak sekolah, peringkat rendah dan menengah serta institusi pendidkan tinggi dibina untuk mencapai matlamat perpaduan dan kemajuan. Namun demikian, pada awal abad ke-20 idea-idea seperti nasionalisme dan sekularisme dapat menyerap secara beransur-ansur dalam kehidupan masyarakat Turki. Konsep negara bangsa menjadi kesan daripada fahaman kebangsaan moden dalam kalangan cerdik pandai ini. Ideology yang berada dalam pemikiran golongan terpelajar Islam di Turki membawa kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah dan penubuhan negara bangsa Turki.
Isi 4 : Peranan Golongan Turki Muda
Satu lagi faktor yang mendorong pembentukan negara bangsa Turki ialah peranan golongan Turki Muda( Young Turks ). Golongan radikal ini menentang pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Golongan ini terdiri daripada pelajar yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pada tahun 1908, Rejim Turki Muda mengisytiharkan pemberontakan terhadap sultan. Mereka banyak dipengaruhi oleh Revolusi Perancis 1789. Rejim Turki Muda ini menekanakan dasar Turkifikasi sebagai reaksi kepada penentangan golongan bukan Islam dari kawasan Balkan. Mereka memainkan peranan penting dalam menganjurkan nasionalisme di Turki demi merealisasikan impian bangsa Turaniah.
Isi 5 : Peranan Golongan Minoriti
Pembina negara bangsa Turki juga bergantung kepada peranan golongan minoriti dalam empayar Turki Uthmaniyah. Di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, golongan Ahl al- Dimnah ini diberi pelbagai keistimewaan. Antara golongan ini ialah orang Ktistian dan orang Yahudi dari kawasan Balkan. Mereka dilindungi dan diberi hak selaras dengan tuntutan Islam. Namun, mereka tidak setia kepada sultan apabila mereka dihasut oleh orang-orang Barar untuk memberontak. Pemberontakan oleh orang Armenia dan campur tangan orang Yahudi menyemarakkan lagi semangat nasionalisme puak nasionalis Turki dan Arab.

Penutup
Kesimpulannya, empayar Turki Uthmaniyah berakhir apabila rejim Turki Muda melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama dengan memihak kepada Jerman. Kekalahan dalam perang ini kepada tentera pihak bersekutu menghancurkan empayar Turki U thmaniyah mendapat kemerdekaa. Akhirnya, Mustafa Kamal Ataturk Berjaya mengisytiharkan sebuah kerajaan republik Turki dengan sokongan padu rakyat Turki.