Isnin, 8 Julai 2013

SUSUN LAPIS MASYARAKAT MELAYU

PENGENALAN

Masyarakat Melayu tradisional merupakan sebuah masyarakat feudal iaitu terbahagi kepada golongan memerintah dan golongan diperintah. Berasaskan kepada hubungan timbal-balik dan saling melengkapi iaitu pemerintah menyediakan kepimpinan dan keselamatan kepada rakyat dan sebagai balasan rakyat akan taat setia serta memberi khidmat mereka

Setiap golongan  masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsi atau peranannya tersendiri dan berbeza. Kedudukan sosio-politik dan ekonomi dalam masyarakat Melayu dari segi hairaki dan fungsi ini adalah diwarisi ataupun telah tersedia.

Golongan pemerintah termasuklah sultan atau raja, kerabat diraja, pembesar atau bangsawan dan ulamak. Manakala golongan diperintah pula terdiri dengan orang merdeheka sama ada orang bebas tempatan dan orang bebas asing dan golongan hamba.

Mula mengalami perubahan setelah British campur tangan ke atas Tanah Melayu pada tahun 1874.


Sultan/Raja/Yang DiPertuan Besar

Berada di puncak kekuasaan dan mempunyai kuasa tertinggi dalam semua bidang termasuklah aspek politik, ekonomi dan sosial. Mempunyai daulat di mana jika rakyat derhaka akan terkena tulah raja atau ditimpa musibbah yang berterusan.

Sultan mempunyai fungsi utama iaitu menjaga kehidupan rakyat dan menjaga keharmonian negeri yang dinaungi, tugas lebih berat kepada hal agama dan adat istiadat.

Mempunyai keistimewaan tertentu seperti memiliki bahasa dalam, memakai pakaian berwarna kuning, berhak membina istana, mempunyai cop mohor, alat kebesaran diraja dan alat muzik diraja iaitu nobat.

Jawatan sultan adalah secara warisan dan jawatan Raja Muda (Putera Mahkota) diwujudkan untuk putera sulong sultan bagi elak daripada berlakunya kesulitan apabila sultan mangkat kelak.

Di Perak penggantian sultan secara giliran iaitu bakal sultan perlu melalui beberapa jawatan tertentu seperti Raja Di Hilir, Raja Bendahara, Raja Muda barulah boleh menjadi Sultan. Dengan itu, terdapat 3 keluarga diraja mempunyai peluang menjadi sultan.

Di Negeri Sembilan pula penggantian YDP Besar secara pemilihan iaitu Undang Berempat berkuasa untuk memilih dan melantik YDP Besar baru yang dipilih dikalangan anak raja.

Sebelum dilantik menjadi sultan perlu mengikuti adat istiadat pertabalan diraja dan ada kalanya putera raja dilantik menjadi pembesar daerah @ raja di jajahan takluk.


Kerabat Diraja

Terdiri daripada golongan keluarga diraja seperti anak-anak sultan, anak saudara sultan, saudara sultan dan sebagainya. Dapat restu sultan untuk menikmati segala keistimewaan seperti mana sultan dalam menggunakan bahasa dalam dan memakai perhiasan emas tetapi tidak berkuasa seperti sultan.

Mereka dibenarkan memiliki tanah, menjalankan segala tugas yang diperintah oleh sultan dan ada pegang jawatan pembesar untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan.


Pembesar/Golongan Bangsawan

Terbahagi kepada kumpulan kecil berdasarkan taraf dan fungsi dalam masyarakat. Golongan ini juga dikenali sebagai orang baik-baik. Biasanya terdiri daripada golongan diraja iaitu  mempunyai hubungan kekeluargaan dengan golongan diraja atau yang mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja.

Juga mempunyai beberapa keistimewaan seperti menggunakan bahasa dalam. Jawatan diwarisi turun temurun atau yang dianugerahi sultan. Mempunyai beberapa lapisan pembesar dalam pemerintahan seperti dalam Sistem Pembesar Empat Lipatan iaitu terdiri dengan pembesar pusat, daerah dan kampung.

Fungsi utama ialah melaksanakan kuasa mentadbir yang ada pada sultan dan menjadi tulang belakang pentadbiran kerana berjaya atau tidak adalah sangat bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan mereka.

Golongan ini diberi anugerah kawasan untuk ditadbir seperti kawasan “pegangan” dan “pemakanan”. Sebagai contoh, Dato’ Maharaja Lela di Pasir Salak, Dato’ Bahaman di Semantan, Engku Besar Jeram Tuan Ahmad di Pasir Puteh dan sebagainya.


Golongan Agama/Ulamak

Menjadi penasihat sultan dan kerajaan dalam soal keagamaan dan hukum syarak. Berperanan sebagai jurutulis serta pakar rujuk bagi sultan dan golongan istana termasuklah golongan bangsawan.

Mereka juga menjadi perawi ataupun pendita diraja seperti menulis salasilah raja. Kebanyakan berketurunan Arab dan Parsi dan merupakan pemimpin agama dan menerima anugerah gelaran oleh sultan sseperti Maharaja Kadi, Makhdum, Maulana, Mufti dan Kadi.

Di Trengganu ulamak memainkan peranan penting dalam pentadbir kerajaan dan bergelar ‘Tokku’. Contohnya Tokku Paloh yang membantu Dato’ Bahaman yang berlindung di Trengganu kerana menentang British di Pahang.


Orang Merdeheka

Orang merdeheka atau orang bebas terbahagi kepada iaitu orang bebas tempatan dan orang bebas asing. Orang bebas tempatan adalah orang asal di negeri tersebut dan hidup bebas serta  menetap. Mereka menjadi pengikut pembesar dan wajib bayar cukai.

Orang bebas tempatan bekerja sebagai petani, nelayan, tukang mahir, pelombong, pencari hasil hutan dan sebagainya.

Orang bebas asing pula merupakan orang luar yang datang ke negeri Melayu sebagai pedagang, perantau, mubaligh, senteri dan sebagainya. Sebagai contoh, orang Kemboja di Kelantan, Hadramaut di Perlis, Gujerat dan Kalingan di Melaka, Bugis di Johor dan Selangor.

Kedua-dua golongan ini boelh bergerak bebas dan tertakluk kepada undang-undang negeri tersebut.


Golongan Hamba

Gol hamba ialah golongan tidak bebas atau tidak merdeka serta dimiliki oleh golongan kaya atau pembesar. Hamba adalah golongan paling rendah tarafnya dalam susun lapis masyarakat.

Golongan hamba melambangkan taraf sosial atau kekuasaan pemilikinya terutama dalam ekonomi. Terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu hamba raja, hamba biasa(abdi) dan hamba berhutang.

Hamba raja dikenali hamba biduanda dan akan melakukan kerja-kerja untuk raja, boleh dilepaskan atas kerelaan raja, dan terdiri daripada mereka rela hati serah diri selepas lakukan kesalahan. Hamba ini tidak mahu dilepaskan walaupun raja ingin membebaskan mereka kerana kehidupan mereka lebih baik berbanding dengan golongan rakyat bebas.

Hamba biasa (abdi) pula menjadi hamba seumur hidup kepada sipemiliknya. Terdapat perbagai jenis hamba abdi seperti hamba tawanan iaitu hamba tertawan dalam peperangan, hamba diranggah ialah orang tawanan bukan Islam yang ditawan oleh lanun atau orang Batak dan dijual, hamba Habsyi pula merupakan hamba kulit hitam yang dibeli di Mekah termasuklah hamba yang dibawa oleh org Arab ke Tanah Melayu; hamba Hulur merupakan pesalah menyerah diri kepada pemerintah kerana tidak mampu bayar hutang darah atau denda; hamba serah adalah orang susah serah diri kepada orang yang sanggup memberikan mereka makan; dan anak hamba/keluarga hamba terdiri daripada isteri dan anak-anak kepada hamba abdi.

Hamba berhutang pula merupakan orang gagal bayar hutang dalam tempoh tertentu dan jadi hamba kepada sipemiutang. Hamba ini akan bebas semula apabila hutang selesai. Terdapat jenis hamba lain yang berkaitan dengan hamba berhutang seperti anak emas iaitu hamba lelaki dan hamba perempuan yang berkahwin dan terikat dgn tuannya; hamba waris iaitu isteri dan anak-anak hamba berhutang; hamba bayar adalah  hamba abdi diserahkan kepada orang lain sebagai menjelaskan hutang.

Hamba abdi dan berhutang berkhidmat untuk tuannya sebagai pengikut dan terlibat dengan pekerjaan di dalam rumah. Hamba lelaki akan disuruh melakukan  tugas berat di luar rumah, tujuan pertahanan dan pertanian. Manakala hamba perempuan pula akan bekerja di dalam rumah atau menjadi dayang kepada pemerintah. Ada juga hamba perempuan dijadikan pelacur untuk tambah pendapatan tuannya.