Ahad, 14 Julai 2013

Adat Temenggung

Kawasan dan Pengasasan

Adat Temenggung berasal dari Palembang, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan dan menjaga kawasan persisiran pantai dan laut. Adat ini dibawa ke Melaka pada awal kurun ke-l5 lagi. Diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.

Bentuk dan Pelaksanaan

Adat Temenggung dilaksanakan di keseluruhan negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Pada peringkat awal penyebarannya di Tanah Melayu, adat ini dipengaruhi oleh agama Hindu terutama dalam Undang-Undang Manu. Apabila Islam berkembang adat ini menerima pengaruh Islam dan hukum syarak mazhab Shafie.

Adat ini tersebar di negeri-negeri Melayu yang lain dengan nama berlainan tetapi mempunyai fungsi yang sama. Di Johor adat ini dikenali sebagai Undang-undang Johor, di Kedah dikenali sebagai Undang-undang Kedah, di Pahang sebagai Undang-undang Pahang dan di Perak sebagai Undang-undang 99 Perak.

Pemerintahan

Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan autokratik iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Adat ini mementingkan golongan raja atau golongan yang memerintah. Raja atau sultan mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan derhaka.

Di puncak struktur politik ialah raja atau sultan, diikuti oleh kerabat-kerabat raja, pembesar-pembesar negeri yang memegang jawatan tertentu dan ketua kampung. Sultan merupakan ketua negeri, lambang penyatuan dan perpaduan rakyat

Jawatan sultan bersifat warisan, seseorang raja yang mangkat akan diganti dengan putera sulung kecuali di Perak berasaskan sistem giliran. Jika sultan tiada anak lelaki, hak pewarisan taktha jatuh kepada adik lelakinya. Jika kedua-duanya tiada barulah musyawarah dan pemuafakatan antara sultan dengan pembesar menjadi keputusan dalam melaksanakan sistem pentadbiran. Pembesar-pembesar pula dilantik oleh sultan.

Pelaksanaan Undang-Undang

Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih tegas dan keras. Bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan semata-mata. Oleh itu pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat memberi iktibar dan amaran kepada orang lain supaya tidak melakukan sebarang jenis kesalahan.

Hukuman bunuh dikenakan atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.

Undang-undang dalam Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Ini bermaksud, sekiranya rakyat dan kerabat diraja melakukan kesalahan yang sama, hukuman yang dikenakan kepada rakyat lebih berat berbanding dengan kerabat diraja.

Pembahagian Harta

Kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam (Hukum Faraid). Ini bermakna jurai keturunan sebelah bapa lebih diutamakan. Pemberian harta yang Iebih kepada anak lelaki dalam Islam kerana anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang besar berbanding dengan anak perempuan.

Jika berlaku penceraian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri mengikut hukum syarak Mazhab Shafie. Adat ini menjelaskan harta yang diperoleh semasa perkahwinan dikenali sebagai hanta sepencarian. Harta sepencarian bagi harta isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak. Jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja hanya berhak mendapat satu pertiga sahaja. Harta asal suami atau isteri dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.

Kekeluargaan dan Perkahwman

Adat Temenggung bersifat patriarchal iaitu kaum lelaki lebih diutamakan kerana kaum lelaki melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Ini sejajar dengan pninsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Adat ini membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja (endogami) asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya mempunyai pertalian darah atau muhrim perkahwinan dilarang. Sesudah berkahwin isteri akan ikut tinggal bersama keluarga suami.

 
KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, adat dapat mengawal perlakuan individu dan merapatkan hubungan persaudaraan. Selepas campur tangan British adat semakin diketepikan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat. Walau bagaimanapun, amalan seharian Adat Perpatih dan Adat Temenggung masih tetap kekal sehingga hari ini.