Rabu, 5 Oktober 2011

Institusi Pemerintahan - Sistem beraja

Peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan
Sebelum campurtangan British di Perak pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Selepas Islam bertapak gelaran raja bertukar menjadi sultan dan dianggap sebagai ‘Amirul Mukminin’ atau pemimpin bagi orang mukmin. Kerajaan-kerajaan yang menerima warisan kesultanan Melaka seperti Johor, Pahang, Perak dan Kedah mengekalkan gelaran sultan sehingga abad ke-19. Begitu juga Kelantan dan Terengganu. Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yamtuan Besar manakala Perlis yang mengekalkan gelaran Raja. Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

1. Politik

a. Ketua kerajaan - Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah.

b. Melantik pembesar - Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda. Sehingga tahun 1874 di Perak, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar. Tiada ketetapan dibuat mengenai jawatan Orang Kaya Besar dan Jawatan Menteri dipegang pembesar Larut. Pembesar Berlapan yang dilantik sultan ialah Maharaja Lela iaitu pembesar Pasir Salak, Laksmana pembesar Durian Sebatang, Sri Andika Raja, pembesar Ulu Perak, Shahbandar, pembesar Daerah Bandar di Hilir Perak, Panglima Kinta iaitu pembesar daerah Kinta, Panglima Bukit Gantang, Sri Agar diraja ,pembesar Kampong Gajah dan Imam Paduka Tuan, iaitu satu jawatan agama Islam. Sementara di Selangor pula beberapa jawatan pembesar yang dilantik oleh sultan ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru dan Orang Kaya Kechil.
Sultan juga melantik pembesar-pembesar daerah menerusi sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya. Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik - Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tanda tangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1875 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan antara sultan dengan pada pembesar.
Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875 pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tanda tangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

d. Sultan berperanan sebagai ketua pertahanan - Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Pada tahun 1830 an-1870an di Negeri-negeri Melayu tidak terdapat peperangan luar yang serius atau ancaman perang. Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja.
Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun 1865-1875 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

2. Ekonomi
Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.
Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

3. Sosial

a. Lambang dan memelihara perpaduan negeri. - Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri, selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya. Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat-pusat kuasa tempatan. Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.
Namun demikian, untuk menjaga kepentingan perdagangan, pertahanan negeri dan ketenteraman dalam satu kawasan yang lebih luas dari sebuah daerah memaksa mereka tunduk kepada sultan . Mereka tidak bersedia untuk memusnahkan kesultanan itu sendiri, walaupun pertentangan dan perebutan takhta sering berlaku dalam kalangan pembesar. Mereka melihat tidak ada satu sistem lain sebaik sistem beraja yang diamalkan.
Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.
Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

b. Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu - Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.
Hanya sedikit sahaja istiadat yang dihadiri oleh sultan sebagai pemimpin rakyat . Peranannya tidak begitu aktif. Upacara-upacara besar dalam masa pemerintahan baginda ialah hari pertabalan dan pemakaman. Pada masa ini pembesar dan rakyat jelata akan berhimpun. Pada masa perayaan besar tahun Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah menjejaskan kedudukan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Sultan kini hanya berkuasa dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja , semua kuasanya yang lain dibolot oleh Residen Inggeris